Tingkatan enam tambah graduan Melayu

Kebanyakan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengalami dilema untuk memilih ke mana yang mereka perlu ditujui untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Sebilangan mereka mungkin selesa berada di pusat matrikulasi di seluruh negara.
Sejumlah lagi mungkin tercari-cari destinasi paling sesuai untuk mereka meneruskan pelajaran. Sebagai bekas pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), saya cadangkan supaya pelajar menyambung dan meneruskan pelajaran ke tingkatan enam.
Saya masih ingat lagi kenangan manis ketika dijulang sebagai pelajar Melayu pertama Melaka memperoleh empat Prinsipal A dalam STPM. Malah, lebih manis lagi gambar kejayaan itu menghiasi halaman utama akhbar ini pada 26 Mac 2005.
Namun, segala-galanya kini tinggal kenangan. Hari ini saya amat kecewa dengan sikap sesetengah masyarakat yang memandang sepi kepada status tingkatan enam, terutama orang Melayu.
Mereka beranggapan tingkatan enam sebagai membuang masa dan mempunyai tahap rendah.
Malah, beberapa minggu lalu, dalam sebuah rancangan radio juruhebah juga memperkecil-kecilkan usaha seorang pendengar yang ingin meneruskan pelajaran di tingkatan enam.
Dalam banyak hal, sebenarnya masyarakat kita, iaitu orang Melayu terlupa bahawa tingkatan enam sudah lama digunakan pelajar bukan Bumiputera untuk menyambung pelajaran ke peringkat ijazah di universiti awam.
Bagi mereka, tingkatan enam adalah jalan pintas paling menjimatkan untuk mereka mendapatkan tempat di universiti. Dengan hanya belajar selama satu setengah tahun dan bayaran yuran sekolah tahunan yang tidak sampai pun mencecah angka seribu ringgit, mereka berupaya melanjutkan pelajaran ke universiti.
Senario ini tidak berlaku di kalangan ibu bapa Melayu. Adakalanya ibu bapa sendiri tidak menggalakkan anak mereka ke tingkatan enam. Malah, mereka lebih tertarik untuk menyambung pelajaran ke kolej swasta yang ada kalanya mutu pelajarannya boleh dipertikai dan tidak diiktiraf Majlis Kelayakan Kebangsaan (MQA).
Mereka sanggup berbelanja beribu-ribu ringgit untuk hanya sekeping diploma. Walhal, dengan jumlah wang sebanyak itu mungkin mereka boleh membiayai pelajaran anak mereka di tingkatan enam dan seterusnya pengajian di peringkat ijazah di universiti awam.
Bahkan, dalam keadaan negara sedang berjimat sekarang, tingkatan enam adalah jalan yang baik untuk digunakan oleh pelajar Melayu. Tiada gunanya jika kita berhabis ribuan ringgit jika kita hanya memperoleh sekeping diploma yang belum tentu laku di pasaran.
Saya meminta pelajar Melayu supaya melakukan anjakan paradigma dalam pemikiran mereka supaya menjadikan tingkatan enam sebagai platform terbaik untuk ke universiti. Saya cukup optimis tingkatan enam adalah landasan terbaik untuk berjaya jika seseorang mempunyai semangat dan iltizam tinggi.
Malah, jika pelajar Melayu memilih untuk ke tingkatan enam, ia serampang dua mata kerana secara tidak langsung kita dapat menambahkan jumlah graduan Melayu di universiti awam dan seterusnya mengatasi masalah komposisi pelajar Melayu yang semakin mengecil di universiti awam ternama di negara ini.

MOHD AMIRUDDIN MD NOR,
Bacang, Melaka.
BERITA HARIAN 8 JULAI 2008