Bayi mangsa kekejaman terbaru Israel

Berita Harian (6/3/2008)

GAZA: Seorang bayi yang baru berusia sebulan adalah antara korban terbaru tentera Israel yang menceroboh selatan Gaza dan bertempur dengan pejuang sehari selepas menamatkan operasi di utara wilayah itu.

Keganasan meletus kelmarin ketika Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Condoleezza Rice, merayu Israel dan Palestin menyambung semula rundingan.

Presiden Mahmoud Abbas, yang mengawal kerajaan di Tebing Barat, membatalkan rundingan Ahad lalu sebagai membantah angka kematian tinggi disebabkan operasi tentera rejim Zionis itu di Gaza yang ditadbir Hamas.


Dalam serangan dua jam kelmarin, kereta kebal Israel membedil peluru manakala helikopter tempur pula membedil peluru berpandu.

Bayi berkenaan terbunuh disebabkan pantulan peluru dan seorang pemimpin Jihad Islam turut terkorban, kata pegawai Kementerian Kesihatan Palestin, Moaiya Hassanain.

Jihad Islam mengeluarkan kenyataan bersumpah untuk membalas dendam.

Operasi singkat itu dilakukan ketika pegawai Israel menggesa operasi ketenteraan besar-besaran ke atas Gaza dilancarkan kononnya untuk menghentikan serangan roket pejuang, yang bermula minggu lalu meregang dari utara ke bandar persisiran pantai Ashkelon, 17 kilometer dari Gaza.

Menteri Luar Israel, Tzipi Livni, dipetik sebagai berkata tentera Israel mungkin terpaksa berpatah balik ke wilayah itu, yang menyaksikan pengunduran penduduk Yahudi pada lewat tahun 2000 selepas pencerobohan selama 38 tahun.

Pegawai di pejabatnya menjelaskan Livni merujuk kepada operasi tentera, bukan penawanan semula. – AP

1 comment:

Cikgu Amir said...

sejauhmanakah kita sebagai umat Islam bersedia dengan isu ini?? isu bumi Palstin. Intifadah di bumi Anbia'??